Pasca PRU15: Niat laksanakan kerja, bukan untuk kekal berkuasa - Herizal Hazri
Israr Khalid
November 25, 2022 05:15 MYT
November 25, 2022 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Sesiapa sahaja yang mengepalai negara harus menetapkan niat dan agendanya untuk semata-mata melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dan bukan untuk kekal berkuasa.
Tegas penganalisis ekonomi politik dan hubungan antarabangsa, Herizal Hazri, tidak kisah sama ada sekejap atau lama hayatnya pada sesuatu jawatan itu, kerja yang terbaik harus disampaikan setiap masa.
Katanya, sekiranya mengekalkan kuasa menjadi keutamaannya, sukar untuk seseorang itu melaksanakan kerjanya dengan jaya.
“Sesiapa sahaja yang mengepalai negara menjadi Perdana Menteri, beliau kena jelas dan saya harap agenda sebenarnya adalah untuk “do the job” dan bukannya “keep the job.”
“Jangan risau sama ada lima tahun atau 10 tahun atau dua minggu atau dua hari, apa yang saya maksudkan adalah kalau pun dua hari sahaja (tempoh khidmat) maka anda perlu menjadi Perdana Menteri dua hari terbaik di dunia,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Maka, ujarnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu risau akan survivalnya sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau melakukan perkara yang betul untuk negara walaupun terpaksa mengetepikan tuntutan konsesi daripada parti-parti di dalam kerajaannya.
Kata Herizal, kalau niat itu jelas dan ikhlas untuk menjalankan tugas dan amanah dengan baik, dengan izin Allah tentu sekali beliau akan kekal pada posisi itu untuk tempoh yang lama.