Pasca PRU15: Keputusan Padang Serai bukti rakyat tolak kerajaan PH-BN - Muhyiddin
Hakim Rahman
Disember 8, 2022 09:40 MYT
Disember 8, 2022 09:40 MYT
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menganggap kemenangan calon mereka di Parlimen Padang Serai dan kekalahan tipis di DUN Tioman adalah bukti rakyat tidak meyakini kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini..
Menurut Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin undi yang diberikan pemilih di kawasan parlimen tersebut menunjukkan petanda positif buat parti terbabit yang mendapat sokongan padu.
"Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN. Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara.
"Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU 15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN," katanya dalam kemas kini di Facebook.
Majoriti BN merosot hampir separuh di DUN Tioman dan majoriti PN di Parlimen Padang Serai pula dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU14.
Calon PN di Padang Serai Datuk Azman Nasrudin, menang besar di Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi Manakala calon BN di DUN Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain menang dengan majoriti tipis 573 undi.
Kenyataan bekas perdana menteri itu dibuat sebagai reaksi PN yang menawan kerusi parlimen Padang Serai yang sebelum ini dimenangi PH.
Tambah Muhyiddin, dia menganggap "penipuan" yang dilakukan PH dan BN dalam PRU ke-15 adalah yang terbesar pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya negara ini.
"Dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti tersebut," katanya.