Pasca PRU15: Kabinet tidak boleh terlalu kecil - Isham Jalil

Israr Khalid
November 29, 2022 07:45 MYT
ISHAM: Penjimatan tidak begitu ketara sekiranya saiz Kabinet dikecilkan. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berpendapat saiz Kabinet baharu tidak boleh terlalu kecil supaya setiap kementerian tidak menanggung beban yang besar.
Maka beliau mencadangkan supaya saiz yang wajar sekiranya langkah pengecilan Kabinet diambil adalah 28 orang menteri daripada 31 orang sebelum ini.
Pengecilan Kabinet bermaksud beberapa kementerian akan digabungkan, dan beliau melihat keadaan ini akan memberi kesulitan dari segi pelaksanaan tugas oleh sesebuah kementerian yang akan bertanggungjawab terhadap bidang kuasa yang lebih banyak.
“Dalam undang-undang kita, ada perkara yang dipanggil perundangan sekunder dan perundangan perwakilan di mana kita gubal akta di Parlimen untuk perundangan utama tapi ia tidak terperinci, jadi banyak kuasa diserah kepada Menteri atas budi bicaranya pada perundangan sekunder dan perwakilan.
“Kalau kita banyak sangat bidang kuasa letak pada satu Menteri ekoran penggabungan kementerian, maka semak dan imbang itu tidak efisien dan menteri itu akan terbeban," katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Oleh hal demikian, katanya, disebabkan saiz Kabinet yang tidak boleh terlalu kecil, maka ia tidak membawa manfaat yang begitu besar kepada penjimatan kos kerana walaupun bilangan menteri dikurangkan, jumlah kakitangan awam dan aset-aset kerajaan tetap sama.
“Mungkin wang untuk menggaji menteri dapat dijimatkan, tapi kalau hanya seorang dua menteri dikurangkan dan gaji setiap menteri sekitar RM50,000, mungkin ia tidak begitu signifikan,” kata Isham.
Kabinet tidak boleh terlalu kecil - Isham Jalil
#Agenda Awani #kabinet #Isham Jalil #Pengecilan Kabinet
;