Pasca PRU15: Imej UMNO, BN perlu diubah untuk pikat semula hati rakyat - Shahril

Abd Hadi Che Awang
November 25, 2022 09:45 MYT
Imej parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu dibersihkan daripada didakwa serta dilihat terpalit dengan isu integriti terutama berkait rapat dengan rasuah membabitkan kalangan pimpinan dalam parti berkenaan, kata Shahril Hamdan.
KULIM: Imej parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu dibersihkan daripada didakwa serta dilihat terpalit dengan isu integriti terutama berkait rapat dengan rasuah membabitkan kalangan pimpinan dalam parti berkenaan.
Menurut Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, imej tersebut telah menjadikan parti itu berhadapan penolakan daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau berharap agar parti dapat dibentuk semula secara strategik atau 'strategic overhaul' dengan pelaksanaan langkah-langkah yang berkesan agar dapat memikat semula hati rakyat.
Jelasnya, pelaksanaan perkara berkenaan tidak boleh ditangguh sehinggakan UMNO dan BN terpaksa berhadapan ‘asteroid’ yang memungkinkan parti itu akan pupus.
Ia, katanya, selepas kedua-dua parti itu telah merasai dan menhadapi tsunami politik yang berlaku dalam beberapa PRU lalu.
"Saya mungkin kalau ada kesesuaian ataupun timing yang sesuai, mungkin saya boleh declare asset, mungkin perkara itu (dilihat) remeh tetapi perkara itu (mampu) memperlihatkan (UMNO dan BN) ini ada komitmen sedikit (dalam isu integriti).
"Saya tidak kata perkara ini boleh selesaikan semua masalah, hendak bersihkan imej parti akan ambil masa yang lama, bukan masa sebulan dua bulan tetapi ia bermula dengan langkah untuk berani (dengan) mengakui kita ada image problem dari segi integriti dan (kita perlu) ada komitmen untuk membersihkan imej (UMNO dan Barisan Nasional),” kata Shahril lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan Santai Pemuda UMNO sempena PRU15 Parlimen Padang Serai di Lunas, di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Shahril berkata, amalan politik khidmat dalam kalangan pimpinan parti juga tidak mencukupi sekiranya imej parti tidak dibersihkan daripada isu integriti.
Antara isu integriti dalam UMNO yang perlu dipulihkan dapat dilihat pada kekalahan besar dua pimpinan parti itu di Kedah iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid di Parlimen Padang Terap dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim di Parlimen Baling susalan penolakan di peringkat nasional terhadap parti itu.
Sementara itu, kata Shahril, agak sukar juga untuk membaca dan menilai sentimen pengundi di Parlimen Padang Serai, namun, akan berusaha sebaik mungkin bagi memenangi kerusi berkenaan.
#PRU15 #imej UMNO dan BN #rasuah dalam kalangan pemimpin #Shahri Hamdan