Pasca PRU15: Calon TPM dari Borneo perlu wakili etnik majoriti - Penganalisis
Fareez Azman
November 27, 2022 13:10 MYT
November 27, 2022 13:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pemilihan calon seorang Timbalan Perdana Menteri dari Borneo terutamanya dari Sarawak sudah tentu perlu mengambil kira pemimpin yang mewakili etnik majoriti negeri itu.
Menurut Penganalisis Politik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi, menjadi satu pengiktirafan besar sekiranya suara etnik Iban atau Dayak dapat diangkat menerusi wakil mereka di peringkat pusat.
"Kalau Timbalan Perdana Menteri itu Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ini satu pengiktirafan besar kepada sumbangan masyarakat Bumiputera di Sarawak khususnya.
“Sebab Alexander adalah wakil Iban atau Dayak. Ia memberikan suatu tempat kepada imej Anwar itu sendiri yang mahukan penyertaan lebih insklusif dalam kerajaannya,” jelasnya memetik laporan media pada Sabtu.
Tambah Awang Azman lagi, beberapa nama lain turut dikaitkan dengan jawatan kedua negara itu selepas GPS menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan perpaduan.
"Jika menjadi realiti, ini pertama kali akan berlaku dan dijangka mampu meningkatkan imej Anwar sendiri.
"Sebelum ini terdapat sentimen Iban di Sarawak mengenai kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN). Jika dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH), Anwar boleh buktikan dengan pelantikan Alexander dari GPS, ia mampu memberikan kesan yang cukup besar kepada pentadbirannya," katanya.
Selain Alexander, turut disebut-sebut mengisi jawatan itu ialah Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof, juga Ahli Parlimen Petrajaya.
Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir pula berpendapat sekiranya wakil Borneo dapat mengalas jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan itu, ujarnya adalah wajar diberikan portfolio khas hal ehwal Sabah dan Sarawak.
Tambah Jeniri, ia bagi membolehkan segala isu dan masalah berkaitan Borneo dapat diselesaikan.
"Memang ada cadangan itu dan ia dapat memperlihatkan keterangkuman sebenar dalam kerajaan Anwar.
“Namun terpulang kepada Anwar untuk pilih yang mana-mana pun. Apa yang penting, pemimpin yang dipilih itu nanti bukan saja Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak atau GPS, tapi untuk semua,”katanya.
Sehingga kini, Perdana Menteri belum mengumumkan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).