Pasca PRU15: Amirudin cenderung kekal sebagai MB Selangor

Bernama
November 24, 2022 21:05 MYT
Amirudin berkata perbincangan untuk 'berpindah' portfolio di peringkat Persekutuan boleh dilakukan pada masa akan datang. - Gambar fail
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau lebih cenderung untuk kekal sebagai peneraju kerajaan negeri buat masa sekarang.
Amirudin, yang memenangi kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov lepas, berkata perbincangan untuk 'berpindah' portfolio di peringkat Persekutuan boleh dilakukan pada masa akan datang.
"Saya lebih suka kekal di Selangor untuk meneruskan kerja. Ini bukan soal jawatan di Pusat atau sebaliknya. Fungsi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen menghubungkan kedua-duanya (Selangor dan kerajaan Persekutuan) dengan lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini sebagai mengulas kemungkinan menjadi menteri Pusat susulan pelantikan Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, sebagai Perdana Menteri ke-10.
ADUN Sungai Tua itu juga berkata beliau percaya tidak akan berlaku sebarang perubahan jawatan memandangkan tempoh pembubaran automatik DUN Selangor hanya berbaki enam atau tujuh bulan lagi.
Amirudin, yang juga Naib Presiden PKR, memenangi kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 12,729 undi dalam pertandingan lima penjuru pada PRU15.
Katanya banyak perancangan yang perlu dilaksana sebelum tempoh DUN berakhir atau dibubarkan antaranya Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
-- BERNAMA
#PRU15 #Amirudin Shari #kekal jadi MB #Gombak
;