Pasca PRU15: Ahli kabinet perlu melangkaui parti politik - Herizal Hazri

Israr Khalid
November 25, 2022 05:45 MYT
HERIZAL: Bukan semua orang yang berkaliber itu berada di dalam parti yang menang, bukan semua orang yang berkaliber menang pilihan raya dan bukan semua orang yang berkaliber berada dalam parti politik. -ISIS Malaysia
KUALA LUMPUR: Kabinet perpaduan harus dianggotai bukan oleh individu dari blok terbesar sahaja, tetapi juga perlu ada keseimbangan dengan menurutsertakan wakil dari parti-parti lain termasuk pembangkang.
Malah, kata penganalisis ekonomi politik dan hubungan antarabangsa Herizal Hazri, Malaysia juga mempunyai ramai bakat di luar pentas politik yang boleh dipanggil untuk bersama membantu kerajaan mengemudi negara menuju kejayaan.
Walaupun mengakui ia bukan satu kebiasaan dan tidak mudah, beliau menegaskan inilah waktunya untuk kita mengambil peluang dan melakukan perubahan demi kebaikan negara.
“Bukan semua orang yang berkaliber itu berada di dalam parti yang menang, bukan semua orang yang berkaliber menang pilihan raya dan bukan semua orang yang berkaliber berada dalam parti politik.
“Jadi pemikirannya adalah pemilihan kabinet itu juga, portfolio-portfolio yang penting untuk membantu kabinet sebab kabinet pun memerlukan banyak bantuan dan ini harus melangkau parti politik dengan melihat kepada merit dan sebagainya,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Maka jelas Herizal, soal konsesi posisi wakil-wakil parti dalam kabinet tidak seharusnya lagi menjadi perkara yang membebani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tatkala beliau sudah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Katanya, sokongan itu perlu diterjemahkan dengan memberi kepercayaan penuh kepada Anwar untuk memilih kabinetnya dan Perdana Menteri juga harus berani untuk membuat keputusan yang mungkin tidak popular tapi baik untuk negara.
“Bagi saya apa yang terbaik adalah pasukan yang merentas parti dan mungkin juga bukan dari kalangan parti politik.
“Sekali lagi, yang paling penting adalah kepentingan negara.”
Ahli kabinet perlu melangkaui parti politik - Herizal Hazri
#Agenda Awani #Malaysia Memilih #Anwar Ibrahim #Herizal Hazri
;