Pasca PRU15: 30 Ahli Parlimen BN menghadap Agong secara individu esok

Hafizi Rosli
November 22, 2022 18:47 MYT
Al-Sultan Abdullah turut menyeru dan menasihat seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kesemua 30 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara individu pada jam 10.30 esok (Rabu).
Menurut kenyataan Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, proses ini bertujuan agar Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang bagi hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Ia selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Baginda turut menyeru dan menasihat seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.
BACA: Pasca PRU15: 'Kita perlu bergerak ke hadapan untuk negara kita yang tercinta ini' - Al-Sultan Abdullah
AWANI Ringkas: Agong minta rakyat terima keputusan pembentukan kerajaan
Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.
Baginda juga mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #pasca PRU15 #Muhyiddin Yassin #Anwar Ibrahim
;