Pasca PRU15: 30 ahli BN hadir menghadap Agong? Istana Negara terus jadi tumpuan

Hilmi Malik, Hasimi Muhamad
November 23, 2022 10:20 MYT
Wakil media menunggu di hadapan pintu masuk Istana Negara. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengamal media tempatan dan luar negara hari ini sekali lagi berkampung di Istana Negara bagi mengikut rapat perkembangan proses pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Istana Negara semalam menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Yang di-Pertuan Agong bermula pukul 10.30 pagi ini.
Proses berkenaan bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan melantik seorang Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Keputusan itu dibuat selepas tiada Ahli Dewan Rakyat memperoleh kepercayaan majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin dititah menghadap baginda di Istana Negara, pada jam 4.30 petang semalam.
Begitu pun, 30 Ahli Parlimen BN yang bermesyuarat semalam memohon agar sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, yang dijadualkan pagi ini, ditangguhkan.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan berkata, Setiausaha Agung BN sudah mengemukakan permohonan itu selepas diputuskan dalam mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 9 malam tadi.
Setakat ini, Astro AWANI mendapati hanya kenderaan yang membawa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dilihat tiba di Istana Negara sekitar 10.11 pagi tadi.
Sementara itu, Istana Negara juga belum menyatakan sebarang kenyataan sama ada permohonan BN, untuk menangguhkan sesi menghadap diperkenan oleh Seri Paduka Baginda, atau sebaliknya.
Jika tidak, secara teknikal, 30 ahli BN perlu akur dengan titah Seri Paduka Baginda untuk menghadap pada hari ini.
Selain 30 ahli BN, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum mengesahkan beberapa Ahli Majlis Tertinggi (MT) Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menghadap Yang di-Pertuang Agong di Istana Negara hari ini.
#Mohd Zuki Ali #PRU15 #Istana Negara #pemimpin parti politik
;