Pasca PRU14: Ini pengakuan Tok Mat tentang UMNO yang dahulu
Harits Asyraf Hasnan
Februari 7, 2019 21:34 MYT
Februari 7, 2019 21:34 MYT
Kekalahan selepas 62 tahun mentadbir negara, membuka mata kepada pemimpin UMNO yang mewarisi parti itu pada hari ini.
Pengakuan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan itu turut bersulam kisah yang dilalui UMNO pasca Pilihan Raya Umum Ke-14.
Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat mengakui UMNO sebelum ini terlalu bergantung kepada kerajaan sehingga menjadikan parti keramat Melayu itu ‘kosong’.
“Dahulu (sebelum PRU14), semua bergantung kepada kerajaan. Kita (UMNO) ada kerajaan.
“Bank data pun kita tak ada. Kajian semua dibuat oleh ISIS (Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa) dan EPU (Unit Perancang Ekonomi).
“UMNO tidak ada apa-apa. Hari ini UMNO jatuh, esok pagi UMNO tidak ada apa-apa kerana selama ini terlampau bergantung dan terlampau berharap kepada kerajaan.
“UMNO itu kerajaan, kerajaan itu UMNO. Jadi susahlah,” katanya pada forum Bicara Minda anjuran Sinar Harian di sini pada Khamis.
Justeru jelasnya, kuasa telah diberi kepada setiap negeri untuk menubuhkan jawatankuasa bagi memenangi PRU15.
Tegasnya, ia perlu bermula dari sekarang dan tidak lagi bergantung harap kepada sumber luar.