Pasca PRN: Aminuddin angkat sumpah MB Negeri Sembilan petang ini?
Ridauddin Daud
Ogos 14, 2023 14:13 MYT
Ogos 14, 2023 14:13 MYT
KUALA PILAH: Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN), sehingga ke detik ini, masih lagi belum muktamad siapa bakal calon Menteri Besar Negeri Sembilan.
Nama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini dicanangkan bakal menjawat semula jawatan tersebut.
Namun, nama Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias juga disebut-sebut sebagai nama dicadangkan untuk jawatan itu.
Bagaimanapun sumber memberitahu Astro AWANI, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah diarahkan untuk berkumpul berhampiran Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Menurutnya, mereka yang masih dalam keadaan tertanya-tanya sejak semalam mula menarik nafas lega selepas mendapat arahan itu.
Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI, beberapa penyokong dipercayai daripada parti itu telah berkumpul di padang berhampiran istana.
Kehadiran mereka menguatkan lagi maklumat kami terima menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu bakal dilantik menerajui kerajaan negeri untuk penggal kedua.
Apa pun, sekarang masih lagi dalam persoalan dan semuanya akan terjawab pada jam 3 petang nanti.