Pasca PRK: 'Pakatan Harapan perlu berhenti salahkan pengundi' - Reezal Merican

Wan Syamsul Amly
Jun 20, 2016 21:56 MYT
REEZAL MERICAN: Pasca PRK: 'Pakatan Harapan perlu berhenti salahkan pengundi' - Gambar fail
Kecenderungan melampau dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan yang menyalahkan rakyat kerana kekalahan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar dilihat tidak beradab dan memperkecilkan kebijaksanaan pengundi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, majoriti pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar juga sudah mempercayai pendekatan politik yang diambil oleh Barisan Nasional (BN) dalam segenap hal.
"Justeru, pendekatan menyalahkan pengundi adalah langkah yang sangat terdesak dan kurang matang. Keputusan pilihan raya, baik di peringkat mana sekalipun, menjadi cerminan kepada 'kepercayaan politik' rakyat kepada pasukan kepimpinan dan kerajaan sedia ada.
"Hamburan fitnah, cerca dan cemuh yang ada di media baru, masih belum mampu untuk menjatuhkan 'kepercayaan' rakyat kepada kerajaan.
"Blok politik Pakatan Harapan wajar menggunakan ruang yang ada ini, untuk melakukan muhasabah politik dan mencari kesilapan sendiri. Usaha itu lebih molek berbanding mengeluarkan kenyataan yang penuh dendam kepada rakyat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Reezal mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di laman Facebook sebelum ini yang menyalahkan rakyat kerana kekalahan Pakatan Harapan pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Dalam pada itu jelas Reezal, kemenangan sebenar kepada kedua-dua PRK ini adalah rakyat di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
"Mereka mempunyai kesempatan yang cukup untuk menilai kredibiliti dan kemampuan wakil rakyat mereka yang baru. Berdasarkan cara kerja BN selama ini, maka akan banyaklah aku janji yang bakal terlaksana," katanya.
Tegasnya, perpecahan kronik dalam Pakatan Harapan menyumbang kepada keadaan politik mutakhir ini.
"Pendirian politik yang condong dan sendeng, disaduri pula dengan politik fitnah dan cerca akan ditolak oleh rakyat. Norma dan tata politik sudah berubah. Fitnah tanpa bukti, bukan sahaja ditolak malah akan dihukum oleh rakyat.
"Pembangkang dan mentor politik mereka perlu mencari strategi politik baru yang lebih bertanggungjawab.
"Politik fitnah, cerca, cemuh dan hina gagal sama sekali menarik minat rakyat. Penolakan rakyat kepada politik songsang seperti ini tidak wajar dijadikan bahan sindiran oleh mana-mana pihak," jelasnya.
BN pada Sabtu berjaya mengekalkan kerusi di kedua-dua Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi telah menewaskan dua calon lain dengan majoriti 9,191 meraih jumlah undi sebanyak 16,800 undi.
Di Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 6,969, meraih jumlah undi sebanyak 12,653 undi.
#Kuala Kangsar #Pakatan Harapan #PRK #Rafizi #Reezal Merican #Sungai Besar
;