Pasca PRK: 'MCA, Gerakan jangan selesa dengan sokongan Cina' - Pemuda UMNO Kedah

Wan Syamsul Amly
Jun 20, 2016 09:12 MYT
SHAIFUL: Kita akui sokongan sudah agak kembali kepada BN dan usaha padu parti komponen seperti MCA dan Gerakan wajar dipuji. - Gambar fail
MCA dan Gerakan diingatkan tidak terlampau selesa terhadap peningkatan sokongan kaum Cina pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, bagaimanapun parti komponen Barisan Nasional (BN) itu harus mendapat pujian terhadap peningkatan undi yang disumbang kaum Cina sendiri.
"Dalam konteks trend pengundi masyarakat Tionghua di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Kita akui sokongan sudah agak kembali kepada BN dan usaha padu parti komponen seperti MCA dan Gerakan wajar dipuji.
BACA: Rangkuman PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar
BACA: Kebersamaan parti komponen kunci kemenangan BN di Sungai Besar
BACA: PM ucap terima kasih atas kemenangan BN
"Namun usaha susulan dari gerak kerja yang telah dibuat di kedua-dua kawasan berkenaan perlu digandakan supaya pengundi kaum Cina di kawasan yang lainnya turut mempunyai sentimen yang sama demi kemakmuran ekonomi dan jaminan keamanan masa hadapan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.
Bagaimanapun katanya, trend pengundi Cina yang seringkali lebih pragmatik, berstrategik dan mengundi sesuatu parti berasaskan kepentingan atau keperluan semasa mereka harus diambil kira.
"Di antara kepentingan-kepentingan dan faktor-faktor tersebut adalah kaum Cina sudah dapat melihat dan membuat telahan bahawa parti PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) akan kalah kerana perpecahan sesama mereka.
"Keduanya, pengundi kaum Tionghua turut melihat bahawa jika diberikan undi kemenangan kepada calon pembangkang sekalipun ianya tidak akan mengubah status quo BN selaku kerajaan pusat.
"Ketiganya, memandangkan kedua kawasan ini secara tipikalnya adalah mjoriti kawasan pengundi Melayu dengan lebih 65 ke 70 peratus, maka mereka hanya mengikut sahaja corak pengundian sedia ada bagi mengelak kemungkinan di anak tirikan oleh wakil rakyat BN yang ternyata berpotensi untuk menang," jelasnya.
Katanya lagi, tiga faktor itu menjadikan MCA dan Gerakan perlu menggandakan usaha melihat kemungkinan faktor lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
"Saya yakin dan percaya sokongan positif di dalam kedua-dua PRK ini bukanlah tanda ukuran yang signifikan dan besar tetapi lebih kepada ledakan moral awal di dalam peperangan.
"Pemuda UMNO Kedah percaya kesetian pengundi Cina masih boleh dipertikaikan dan kita menaruh kepercayaan penuh kepada MCA dan Gerakan bagi menggalas misi mencabar pada PRU ke-14 ini bagi memuktamadkan teka teki ini," jelasnya.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein percaya sokongan kaum Cina sudah mula kembali kepada BN susulan kemenangan meyakinkan parti itu di kedua-dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
#Cina #Kuala Kangsar #Pemuda UMNO #PRK #Sungai Besar
;