'Pas yakin PN bebas rasuah?' - Bastien Onn

Madiha Abdullah
Oktober 14, 2022 22:32 MYT
Kata Bastien, UMNO menghormati keluhuran perlembagaan dan menghormati pemisahan kuasa antara eksekutif dan badan kehakiman. - Gambar fail
SEGAMAT: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa UMNO bergelumang rasuah sebagai punca mereka memilih untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dan bukannya Muafakat Nasional (MN).
Kata Bastien, beliau mahu Abdul Hadi menjawab jika PN diyakini benar-benar bebas rasuah.
"Rafizi (Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR) ada sebut kes Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan kes Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad. Saya minta beliau semak perkara ini yang belum dibicarakan, sebelum sibuk nak melabel UMNO.
"UMNO mempunyai pemimpin yang mengambil pendirian untuk membersihkan diri melalui proses mahkamah.
"Tidak ada seorang pun pemimpin yang menggunakan kuasa untuk melarikan diri dari perbicaraan. Kita bukan DAP yang apabila menang PRU14, pemimpin itu dilantik ke jawatan penting dan digugurkan pendakwaan," kata Bastien semasa menghadiri Persidangan UMNO Bahagian Segamat, pada Jumaat.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRU15 DI SINI
Tambahnya, kesemua pemimpin UMNO sudah melalui perbicaraan, malah ada yang sudah dipenjarakan. Ini menunjukkan UMNO menghormati keluhuran perlembagaan dan menghormati pemisahan kuasa antara eksekutif dan badan kehakiman.
"Lupakah beliau? Saya nak ingatkan Pas, UMNO sudah dibersihkan. Hanya pemimpin kami yang sudah melalui proses mahkamah. Tiada parti lain. Anda semua (Pas) di lopak yang sangat keruh.
"Pas juga tahu bahawa kemuncak kemarahan orang Melayu adalah apabila ada usaha oleh Kerajaan PN utk menandatangi ICERD. Ummah yang kita selamatkan melalui kerjasama MN menentang usaha itu sampai berderai air mata kerana ICERD itu datang dari Bersatu yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Pakatan Harapan," tambahnya.
#bastien onn #Abdul Hadi Awang #bubar parlimen #PRU15
;