PAS yakin bai'ah calon mampu tambah keyakinan rakyat

Hilal Azmi
April 20, 2018 00:13 MYT
Bercakap kepada media, Ahmad Fakhruddin berkata Pas mampu meyakinkan anak muda dalam PRU14. Astro AWANI / HILAL AZMI
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan Pas yang mengetuai Gagasan Sejahtera bertanding di 14 kerusi Parlimen serta 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.
Pesuruhjaya Pas Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi berkata, calon PAS diyakini mampu menjalankan tugas dengan baik selaras dengan keupayaan mereka mengurus dan mentadbir organisasi masing-masing sebelum ini.
Katanya, aura yang ada pada setiap calon diperkuat dengan proses bai'ah atau sumpah taat setia yang dilafazkan sebanyak dua kali, iaitu di hadapan pesuruhjaya dan juga di hadapan ahli Pas.
"Saya percaya orang bukan Islam juga percaya kepada Tuhan. Bai'ah ini secara tidak langsung membuktikan hubungan yang rapat antara individu itu dengan Tuhan.
"Jadi, saya kira orang yang percaya dengan Tuhan tidak akan mungkir perjanjian tersebut," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Calon PRU14 Gagasan Sejahtera negeri Kedah pada Khamis.
BACA: Pas selaras lafaz baiah di seluruh negara - Tuan Ibrahim
Ditanya bagaimana Gagasan Sejahtera, terutamanya Pas, boleh menarik sokongan anak muda dalam PRU14 memandangkan purata umur calon Pas kali ini ialah 51 tahun, Ahmad Fakhruddin berkata beliau percaya ia mampu meyakinkan anak muda.
"Saya perhatikan, ramai calon kali ini umur di lingkungan 40-an dan membawa aspirasi anak muda dengan penuh kematangan," tambahnya.
Pas juga menampilkan empat calon wanita yang membabitkan tiga di peringkat DUN dan seorang di peringkat Parlimen.
Sementara itu, di Parlimen Langkawi, tiada kerusi diperuntukkan bagi Pas.
#Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi #anak muda #Aspirasi Belia PAS #baiah #Gagasan Sejahtera #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #PAS #Pas Kedah