PAS umum 3 calon Parlimen, satu calon DUN di Perak

Abd Razak Mohd Ali
April 17, 2018 10:32 MYT
PAS umum tiga calon Parlimen dan satu calon DUN di Perak. - Astro AWANI
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad pula diumumkan sebagai calon Parlimen Parit dan Ketua Penerangan PAS Bagan Datuk, Ata Abdul Munim Hassan Adli di Parlimen Bagan Datuk.
Pengumuman dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika memberi ucaptama pada program 'Gelombang Hijau Perak PRU14' di Perkarangan SRITI At-Taalim, Taman Gemilang, di sini, malam tadi.
Abdul Hadi turut mengumumkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semanggol.
Pada PRU13, Idris menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ismail Saffian dengan majoriti 986 undi.
Dr Najihatussalehah yang pernah bertanding dan tewas di DUN Belanja turut tewas kepada calon BN, Datin Mastura Yazid dalam pertandingan empat penjuru pada PRK Kuala Kangsar 2016.
Ata Abdul Munim adalah muka baru manakala Razman pernah bertanding di Parlimen Lenggong pada PRU13 tetapi tewas kepada calon BN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dengan majoriti 3,453 undi.
Ketika ditemu pemberita, Abdul Hadi berkata, PAS dan rakan-rakan dalam Gagasan Sejahtera akan bertanding 165 kerusi Parlimen.
Katanya, mereka mensasarkan untuk menang di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Perak di samping mendapat beberapa kerusi di negeri-negeri lain.
#calon PAS #kerusi DUN #kerusi Parlimen #MalaysiaMemilih #PAS #Perak #pilihan raya umum #PRU14
;