Pas-UMNO satu logo: 'Tidak mengapalah, mereka bebas lakukannya' - Anwar
Rahimah Abdullah
Mac 4, 2019 17:23 MYT
Mac 4, 2019 17:23 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Pas dan UMNO bebas untuk menggunakan satu logo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun, Pakatan Harapan tetap mengambil maklum perkara itu dan menumpukan kepada usaha mendekati rakyat.
“Tidak apalah. Mereka bebas untuk melakukannya. Tidak mengapa. Namun kita mahu rakyat tahu mengenai kepimpinan UMNO dan Pas juga. Jangan lupa dan alpa dengan realiti rasuah terbesar yang dilakukan kerajaan sebelum ini, menyebabkan Tun Dr Mahathir terpaksa tangani.
“Saya tidak begitu mahu tahu dengan inisiatif mereka, mereka nampaknya bersemangat dengan (kemenangan) satu pilihanraya kecil. Namun mereka lupa bahawa mereka pernah kalah banyak kerusi termasuk Port Dickson,” katanya semasa dalam sidang media selepas program DNA23 di sini pada Isnin.
Beliau mengulas ura-ura mengenai Pas dan UMNO yang dikatakan bakal mengorak langkah lebih besar iaitu akan mempertimbangkan menggunakan satu logo pada PRU-15 akan datang.
Kata Anwar, usaha perlu ditumpukan kepada membangunkan negara tanpa meminggirkan kaum dan agama.
“Kami tidak seperti mereka dan alpa dalam realiti. Kami tahu kami sebagai sebuah parti PH, kami perlu lakukan lebih lagi, berhubung dengan rakyat dan memberi penjelasan kepada mereka. Ini bukan masa untuk kita pusing ke belakanv namun, tunaikan janji, polisi yang telus dalam usaha membangunkan Malaysia tanpa meminggirkan kaum dan agama,”
Kedua-dua parti itu dikatakan bakal mengorak langkah lebih besar iaitu akan mempertimbangkan menggunakan satu logo pada PRU-15 akan datang.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada Ahad berkata, perkara itu akan dibincangkan pada Selasa ini oleh jawatankuasa perunding antara Pas dan UMNO.
#Anwar Ibrahim
#Malaysia
#Malaysia Baharu
#Pakatan Harapan
#PAS
#pilihan raya umum
#rakyat
#Takiyuddin Hassan
#UMNO