Pas, UMNO menterai piagam September ini
Astro Awani
Julai 25, 2019 13:10 MYT
Julai 25, 2019 13:10 MYT
Dua parti terbesar orang Melayu, Pas dan UMNO bakal mementerai piagam bersama pada 14 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Kedua-dua parti juga telah bersetuju untuk mengadakan satu majlis menandatangani piagam pada tarikh tersebut yang akan berlangsung pada pukul 11 pagi.
"Kedua-dua parti memutuskan piagam ini akan ditandatangani sendiri oleh presiden kedua-dua parti.
"Majlis bersejarah ini akan dihadiri oleh semua pemimpin UMNO dan Pas dari seluruh negara," kata kenyataan bersama dua Setiausaha Agung kedua-dua parti iaitu, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan.
Selain mementeraikan satu piagam bersama, Pas dan UMNO juga bakal menandatangani satu memorandum bersama.
Piagam dan memorandum bersama ini telah siap digubal oleh satu jawatankuasa bersama yang diwujudkan sebelum ini.
Annuar dan Takiyuddin juga menjelaskan, piagam bersama ini bakal dimenteria setelah Pas dan UMNO mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dalam mengharungi cabaran arus perdana politik tanah air.