Pas, UMNO, Bersatu berkeluarga, bunyi bising itu hanyalah 'alih perabot' - Abdul Hadi

Abdul Hadi Che Awang
Januari 11, 2021 14:24 MYT
Pas juga akan bertindak sebagai orang tengah atau pendamai dalam menyelesaikan kekusutan membabitkan beberapa isu antara parti UMNO dan Bersatu ketika ini. - Gambar fail
ALOR SETAR: Ketegangan yang berlaku ketika ini khususnya melalui beberapa kenyataan daripada pimpinan-pimpinan parti UMNO, Bersatu dan PAS dianggap sebagai permasalahan dalaman yang diibaratkan seperti 'mengalih perabot' di dalam rumah.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan permasalahan itu diyakini mampu diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memandangkan ketiga-tiga parti itu kini merupakan satu keluarga.
Tambah beliau, Pas juga akan bertindak sebagai orang tengah atau pendamai dalam menyelesaikan kekusutan membabitkan beberapa isu antara parti UMNO dan Bersatu ketika ini.
Jelasnya, gabungan berkenaan juga dijamin akan membentuk satu kerjasama yang lebih erat dan utuh khususnya dalam membawa suara perpaduan Melayu Islam termasuk bagi mendepani PRU-15 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
"Kami (Pas, UMNO, Bersatu) sudah berkeluarga, (kami) duduk satu rumah sekarang ini, semua itu parti Melayu, UMNO parti Melayu, Bersatu parti Melayu; kita utamakan perpaduan Melayu Islam dulu, dalam masa yang sama menyedari masyarakat majmuk mesti bekerjasama dengan kita.
"Jadi urusan UMNO, Bersatu, PAS ini urusan dalam rumah, kadang-kadang orang tengok kita bising itu, 'alih perabot' saja," katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Libat Urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama peladang kawasan MUDA, di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, di sini pada Isnin.
Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO sudah bersetuju dengan usul untuk memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi PRU15.
Beliau bagaimanapun menjelaskan keputusan muktamad atau keabsahan berhubung usul berkenaan perlu diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan diadakan pada 31 Januari depan.
Dalam pada itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula, menghormati sebarang keputusan dibuat UMNO termasuk penolakan kerjasama dengan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presidennya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, tiada sebab untuk beliau atau mana-mana pihak menidakkan hak parti yang berbeza fahaman, khasnya dalam menentukan hala tuju masing-masing.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata Pas akan berperanan sebagai jalan pendamai bagi menjernihkan hubungan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) serta gabungan parti Muafakat Nasional (MN).
Jelasnya, pihak Pas tidak akan sesekali mencetuskan api permusuhan melalui pelbagai tindakan dalam keadaan yang berlaku ketika ini.
#Zahid Hamidi #Abdul Hadi Awang #UMNO #PAS #pilihan raya umum #Bersatu #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #alih perabot
;