PAS tunda lagi mesyuarat ke 17 Ogos
Astro Awani
Ogos 8, 2014 20:15 MYT
Ogos 8, 2014 20:15 MYT
PAS sekali lagi menunda tarikh bagi mesyuarat AJK Pusatnya untuk membincangkan pendirian parti berhubung jawatan menteri besar Selangor kepada 17 Ogos, lapor Harakahdaily.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Musatafa Ali berkata sejumlah anggota AJK PAS Pusat tidak dapat hadir ke mesyuarat pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini, 13 Ogos.
"Oleh kerana mesyuarat ini penting, maka PAS mahu memastikan semua pihak dapat hadir, maka insyaAllah, 17 Ogos ini semua boleh hadir.
"Semua pihak insyaAllah boleh hadir mesyuarat pada 10 Ogos tetapi tarikh itu dilihat tidak cukup matang terhadap perkembangan yang berlaku, sebab itu kita tunda kepada 13 Ogos," Mustafa dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily.
AJK PAS Pusat pada awalnya menetapkan tarikh 10 Ogos ini untuk mesyuarat namun ianya ditunda ke 13 Ogos.