Pas tolak sebarang usaha penjajaran baharu dengan PH

Astro Awani
Mac 5, 2021 12:01 MYT
Takiyuddin menjelaskan, Pas komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima majoriti rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pas menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah 'penjajaran baharu' melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Pas juga menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin.
Takiyuddin menjelaskan, Pas komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima majoriti rakyat.
"Pas amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.
"Pada masa yang sama Pas turut menekankan buat masa ini sewajarnya semua pihak memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha memerangi wabak COVID-19 dan pemulihan semula ekonomi negara dengan sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Takiyuddin menegaskan, demi menjayakan usaha itu Pas akan meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama ketiga-tiga parti.
Tegas beliau, Pas akan terus berusaha memperkasa Muafakat Nasional, sekali gus mempertahan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat.
Mutakhir ini kerjasama antara tiga parti utama yang membentuk PN dilihat goyah apabila UMNO memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Keputusan UMNO itu dilihat banyak pihak sebagai salah satu usaha untuk menjayakan penjajaran baharu dengan PH yang menjadi sebutan akhir-akhir ini.
#PAS #UMNO #Bersatu #penjajaran baharu #Perikatan Nasional #Pakatan Harapan #kerjasama #Politik Malaysia #Berita Terkini #berita Malaysia #Berita AWANI
;