Pas tolak pakatan baharu, iltizam perkasakan MN, PN
Ridauddin Daud
Januari 2, 2021 17:45 MYT
Januari 2, 2021 17:45 MYT
KUALA LUMPUR : Pas menolak sebarang usaha untuk membentuk pakatan baharu dan beriltizam untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, MN dan PN ibarat benih yang baru tumbuh dengan subur dan sebarang cadangan lain adalah tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan.
Menurutnya, perpaduan melibatkan gabungan itu adalah acuan Islam yang ingin dikembalikan semula setelah dilupakan sebelum ini.
“Jadilah Melayu Islam yang sempurna dengan aqidah, syariat, akhlak dan integriti, bersama kaum dan penganut berbagai agama berkonsepkan adil kepada semua dalam masyarakat majmuk.
“Acuan perpaduan inilah yang boleh menegakkan umat yang selamat di dunia dan akhirat. Maka adalah haram kita memilih acuan akal manusia yang sempit sekadar menyelamatkan diri masing-masing, puak masing-masing dan kedudukan masing-masing.
“Bukannya berwadahkan umat yang besar dan wawasan yang jauh daripada dunia sehingga akhirat,” katanya menerusi status dimuat naik dalam Facebook rasmi beliau pada Sabtu.
Tambah Ahli Parlimen Marang itu, perpaduan yang terjalin itu adalah fardu kifayah kewajipan secara umum dan menjadi fardu ain kepada pemimpin yang bertanggungjawab.
“Pendekatan kita di Malaysia, tempat bumi Allah yang kita berpijak mengikut petunjuk al-Quran dalam aspek perpaduan umat ialah menyatukan umat Islam dengan penubuhan Muafakat Nasional yang diasaskan pada awalnya oleh Pas dan UMNO.
“Ia terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama termasuklah kepada Parti Pibumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijemput selepas itu. Kemudian diikuti dengan penubuhan PN yang menggabungkan semua parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Ia berasaskan piagam yang dimeterai secara persefahaman dahulu sebelum diperkemaskan secara berperingkat, berasaskan konsep Islam Agama Rasmi Persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan,” ujarnya.
#PAS
#MN
#PN
#Muafakat Nasional
#Perikatan Nasional
#Abdul Hadi Awang
#Presiden Pas
#UMNO
#Islam
#Melayu
#Bersatu
#PPBM
#perpaduan
#HADI AWANG