Pas tolak jajaran baharu - Abdul Hadi Awang
Astro Awani
April 9, 2021 15:56 MYT
April 9, 2021 15:56 MYT
MARANG: Pas tidak akan menerima sebarang bentuk kerjasama bagi mewujudkan jajaran politik baharu, sebaliknya, akan terus memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu juga tidak akan bekerjasama dengan UMNO sekiranya benar wujud jajaran baharu berkenaan.
Merujuk pada penularan rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Hadi berkata, sekiranya benar wujud komunikasi sedemikian, itu memberi tanda-tanda jajaran politik baru yang ditolak PAS.
"Itu sebahagian daripada jajaran baharu.. jajaran baharu sudah diumumkan (sebelum ini) ... itu adalah tanda-tanda jajaran baharu. Kita (Pas) terus dengan Perikatan Nasional bukan jajaran baharu, kita tolak jajaran baharu," tegas Abdul Hadi kepada wartawan di Rusila pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Ahli Parlimen Port Dickson yang antara lain kandungannya mengenai rumusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) yang berlangsung baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi turut ditanya apakah Pas akan bekerjasama dengan UMNO sekiranya rakan sekutunya menjalinkan jajaran baharu dengan PKR.
"Tidak-tidak... kita tak akan terima (UMNO) kerana kita bersetuju dengan Muafakat Nasional yang bukan sahaja melibatkan UMNO, melibatkan Bersatu juga... melibatkan semua kumpulan Melayu Islam Bumiputera, kemudian masyarakat majmuk dan Perikatan Nasional digabungkan," kata beliau lagi.
Sementara itu, ketika ditanya reaksi beliau mengenai rakaman audio antara Ahmad Zahid dan Anwar pula, Abdul Hadi berkata, penyebaran sedemikian bukanlah perkara baharu dalam gelanggang politik.
"Tulen tak tulen saya tak tahu, cukup (untuk) masyarakat menilai. Sudah berapa kali (penyebaran audio dan video sebelum ini)," jelas beliau.
Pada Rabu, terdapat rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat antara dua individu yang didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tular di media sosial.
Melalui rakaman audio itu, kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam PAU2020 menerusi panggilan telefon.
Kedua-dua pemimpin berkenaan, bagaimanapun, menafikan berlaku perbualan sedemikian dengan menegaskan, penularan rakaman audio itu merupakan perbuatan jijik yang cuba merosakkan imej dan reputasi mereka serta parti.
#PAS
#UMNO
#PKR
#jajaran baharu
#Perikatan Nasional
#Muafakat Nasional
#PAU 2020
#rakaman audio
#Zahid Hamidi
#Anwar Ibrahim
#Abdul Hadi Awang