'Pas tidak yakin kemampuan Pakatan Harapan tumbangkan BN' - Syed Ali

Astro Awani
September 30, 2015 17:14 MYT
SYED ALI: 'Pas tidak yakin kemampuan Pakatan Harapan tumbangkan BN' - Gambar Fail
Pendirian Pas untuk tidak menyertai Pakatan Harapan yang menggabungkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) membuktikan parti itu tidak yakin kemampuan gabungan tersebut untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pendirian Pas membuktikan tidak ada kesepakatan di kalangan parti pembangkang yang sebelum ini menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri jika mereka menguasai Putrajaya.
"Walaupun penjelasan Pas yang enggan menyertai pakatan tersebut kerana adanya DAP dan Amanah, tetapi jelas Pas sedar pakatan tersebut tidak mampu memberi tekanan kepada BN khususnya UMNO," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my.
Jelasnya, seperti Pakatan Rakyat (PR) yang telah berkubur, Pakatan Harapan juga sekadar gabungan bagi merealisasikan cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri bagi melunaskan dendam politiknya terhadap UMNO.
"Pakatan Harapan sebelum ini secara terbuka menyatakan Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri jika pakatan berjaya membentuk kerajaan pada PRU akan datang," ujarnya.
Katanya, keengganan Pas menyertai Pakatan Harapan akan menyukarkan PKR untuk kekal berkuasa di beberapa kawasan dimenanginya pada PRU ke-13 terutama di Selangor.
"Pada PRU ke-13 lalu, kemenangan PKR dan DAP termasuk di kawasan pengundi Melayu banyak dipengaruhi oleh PAS, oleh sebab itu Pakatan Harapan menagih penyertaan Pas," ujarnya.
Syed Ali mengulas penegasan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah di Kota Bharu pada Isnin bahawa parti itu tidak mahu menyertai Pakatan Harapan kerena adanya DAP dan Amanah.
Mohd. Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan dipetik sebagai berkata hasrat untuk melihat parti itu bergabung tidak akan termakbul selagi adanya DAP dan Amanah.
"Perkembangan terbaru itu akan lebih menyukarkan keserasian gabungan Pakatan Harapan terutama membabitkan pembahagian kerusi pilihan raya sama ada peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu.
"Saya sudah menjangkakan, Pas tidak akan bekerjasama dengan Amanah, parti serpihan Pas yang diketuai Mohamad Sabu di mana penyokong setia Pas menyifatkan Amanah sebagai parti sampah," tegasnya.
Oleh sebab itu tambahnya, PKR beria-ia mahukan Pas menyertai Pakatan Harapan bagi memastikan sokongan orang Melayu terutama di Selangor akan berkekalan.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali memberitahu, senario politik masa kini telah memberi petunjuk bahawa peningkatan sokongan orang Melayu terhadap UMNO berada di paras yang membanggakan terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
"Orang Melayu telah kembali sedar hanya menerusi kesepakatan dan perpaduan di kalangan mereka mampu memberi kekuatan kepada masa depan negara, agama dan bangsa.
"Kebangkitan orang Melayu telah teserlah apabila acapkali mereka diperlekehkan, ini memberi ruang terbaik kepada UMNO untuk meningkatkan sokongan rakyat terhadap parti," tegasnya.
Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menjelaskan, UMNO harus mengetepikan segala permasalahan dalaman yang boleh menjejaskan kekuatan parti.
"Sekarang ini, semua pihak perlu menoleh semula ke belakang, melihat kejayaan masa lalu parti dan menjadikannya sebagai teladan untuk meneruskan perjuangan masa depan membela nasib rakyat.
"Selagi UMNO dihimpit dengan adu domba, dengki khianat, fitnah dan bertelagah sesama sendiri dikhuatiri orang Melayu akan terhakis keyakinan terhadap parti.
"Pemimpin dan ahli-ahli UMNO di semua peringkat perlu gembelingkan tenaga dengan semangat muafakat untuk meredah masa depan yang lebih mencabar," katanya.
Bagaimanapun tegasnya, asas untuk mengembalikan keyakinan ialah kembali kepada semangat pengorbanan, setiakawan dan setia kepada perjuangan sambil mengutamakan kepentingan rakyat.
#Pakatan Harapan #PAS #Syed Ali #UMNO
;