Pas tidak terdesak kerjasama dengan UMNO - Mursyidul Am

Dewi Nur Harasha Alias
September 2, 2022 16:57 MYT
Datuk Hashim Jasin berkata, Pas sudah melalui pelbagai tekanan sejak mula berkecimpung dalam politik sejak dari 1951 sehingga sekarang. - Gambar BERNAMA
YAN: Pas tidak terdesak untuk terus menjalinkan kerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun matlamatnya untuk mengukuhkan perpaduan ummah menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).
Mursyidul Am parti itu, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas sudah melalui pelbagai tekanan sejak mula berkecimpung dalam politik sejak dari 1951 sehingga sekarang.
Justeru, jelas beliau, perjuangan Pas adalah berlandaskan tanggungjawab perjuangan selain mempunyai tempat bergantung iaitu berpandukan pada al-Quran, sunnah dan syarak sesuatu yang
berbeza dengan parti politik lain.
Justeru, Hashim berkata, tidak timbul soal PAS terdesak kerana usaha yang dilakukan adalah demi untuk perpaduan ummah.
“Hendak kata kita (Pas) terdesak, ertinya kita tidak boleh hidup tanpa dia (UMNO)… sedangkan kita sudah dalam politik dari tahun 1951 sampai sekarang, macam-macam kita lalui, macam-macam tekanan kita sudah lalui, kita bergerak solo, kita berpakat, semua sudah kita lalui, apakah menyangka orang Pas terdesak sekarang ini?
“Pas tidak terdesak, kita ada tempat bergantung, kita berpandukan al-Quran, sunnah dan syarak. Pas rasa tenang dan lapang, kalah pun tidak mengapa, menang pun lagi elok dan ia berbeza dengan orang lain, parti lain.
“Kita berjuang kerana tanggungjawab, untuk perjuangan… ada pun hasil daripada perjuangan kalah ka menang ka, kita anggap kita berjaya asal kita melibatkan diri dengan perjuangan,” kata Hashim
Beliau berkata demikan dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas di Guar Chempedak, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai hubungan UMNO dan Bersatu pula, Pas, kata beliau, akan menjadi orang tengah bagi memulihkan hubungan kedua-dua parti itu yang didakwa menjadi punca pergolakan dalam MN.
Jelasnya, Pas tidak pernah menutup pintu dan sentiasa berharap agenda perpaduan ummah akan dapat dikembalikan .
Walaupun jalan untuk perpaduan ummah itu masih jauh, namun, Pas, kata Hashim, yakin dan berharap usaha itu akan berjaya kelak.
Katanya, mereka yang terlibat dengan Perjanjian MN perlu merujuk kembali perjanjian selain merujuk al-Quran, sunnah dan syarak sekiranya berlaku sebarang perselisihan.
#Pas tidak terdesak #UMNO #Mursyidul Am Pas #Hashim Jasin
;