Pas tidak putus asa bina muafakat UMNO-Bersatu - Tuan Ibrahim

Adie Sufian Zulkefli
Mac 4, 2021 17:34 MYT
Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pas sedia bekerjasama dengan semua pihak yang bersedia menyokong aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN). - Gambar fail/Astro AWANI
KANGAR: Meskipun UMNO memutuskan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun Pas tidak berputus asa membina muafakat bagi ketiga-tiga parti.
Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pas sedia bekerjasama dengan semua pihak yang bersedia menyokong aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Tapi dari segi muafakat dan kerjasama, kita yakin kita boleh berunding dan insya-Allah kita sentiasa ada hubungan baik dengan UMNO.
"Dan dengan perbincangan-perbincangan tersebut, saya yakin kita mampu bina muafakat yang baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, pada Khamis.
Tuan Ibrahim berkata, jawatankuasa rundingan masih berjalan, di mana Pas mempunyai hubungan erat dengan UMNO.
Malah, katanya banyak kajian sebelum ini menggambarkan pertandingan tiga penjuru pada PRU15 memberi peluang Pakatan Harapan (PH) bangkit semula.
Menerusi laporan Astro AWANI semalam, UMNO mengesahkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.
.
BACA: MKT UMNO sahkan tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15
BACA: Muhyiddin tiba mesyuarat AMT, bincang hubungan Bersatu dan UMNO
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat MKT di Janda Baik, 19 Februari lepas, seperti yang dilaporkan beberapa media.
Selain itu, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, UMNO turut berpendapat kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
#PAS #UMNO #Bersatu #Muafakat #pilihan raya umum #PRU #PRU15 #Tuan Ibrahim Tuan Man #Perikatan Nasional
;