Pas tidak punya cybertroopers yang hebat untuk kuasai perang saraf di media sosial
Bernama
September 14, 2018 07:39 MYT
September 14, 2018 07:39 MYT
Dewan Pemuda Pas mendedahkan kelemahan parti itu yang tidak mempunyai jentera cybertroopers hebat untuk menguasai perang saraf di media sosial berbanding cybertroopers Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu.
Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Jerlun, Abd Hadi Omar berkata cara biasa yang digunakan parti itu sebelum ini untuk menangkis fitnah di pentas ceramah, kuliah dan ceramah berkelompok, sudah tidak begitu relevan dengan perkembangan pantas era teknologi maklumat ketika ini.
"Penerangan melalui cara lama ini hanya mampu memberi kesan 20 peratus sahaja berbanding 80 peratus cara yang lebih efektif menggunakan media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Youtube, Instagram dan Twitter.
"Kita perlukan jentera di media sosial yang lebih pantas menyampaikan maklumat dengan fakta dan data yang tepat...Dewan Pemuda Pas juga perlu menonjolkan lebih ramai figura baharu yang lebih responsif dan cakna isu semasa sekiranya mahu lebih cemerlang dalam PRU15 kelak," katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Pemuda Pas Muhd Khalil Abdul Hadi dalam Muktamar DPPM ke 59 di sini, pada Jumaat.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaei Abd Rashid pula mencadangkan Pas mewujudkan satu jabatan khas untuk 'pemikir pemasaran' yang mampu menggerakkan satu pelan strategi baharu di media sosial.
"Kita juga memerlukan dana yang besar untuk aktiviti parti di media sosial menjelang PRU15, menyediakan latihan khas kepada cybertroopers parti menyebarluaskan aktiviti, kenyataan dan mempertahankan parti dari fitnah di media sosial.
"Sepatutnya, setiap kenyataan dan penerangan pemimpin mengenai satu-satu isu perlu dikongsi seluas mungkin oleh setiap anggota parti, namun ia tidak berlaku...contohnya, liputan perjalanan Muktamar Dewan Pemuda Pas secara live petang ini juga agak suram, hanya 300 'viewer' sahaja, ini perlu kita ubah, dengan segera," katanya.
Beliau juga menarik perhatian perwakilan dengan menyatakan kebanyakan kerja parti dilakukan oleh anggota Pemuda Pas yang turut mempunyai banyak komitmen lain, justeru parti perlu mempunyai kakitangan tetap untuk media sosial seperti penulis siaran media, reka bentuk poster dan teknologi berkaitan.
-- BERNAMA
#cybertroopers
#dana
#Dewan Pemuda Pas
#jabatan khas
#kelemahan parti
#media sosial
#Muktamar
#Pakatan Harapan
#PAS
#pelan strategi
#pemikir pemasaran
#perang saraf
#pilihan raya umum
#PRU14
#PRU15
#relevan
#Teknologi Maklumat