PAS tidak pernah campur tangan urusan parti lain - Hadi
Irwan Muhammad Zain
Jun 4, 2015 12:23 MYT
Jun 4, 2015 12:23 MYT
Biarpun diserang siang dan malam, PAS tidak pernah mencaturkan kedudukan pemimpin parti sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, PAS juga tidak pernah meminta parti yang bekerjasama dengan mereka mengkaji semula dasar yang bercanggah dengan parti Islam itu.
"Sebab itulah, walaupun kita tahu parti kawan kita adalah memperjuangkan perlembagaan sekular, yang tentunya sangat bercanggah dengan dasar PAS, tetapi PAS tidak pernah meminta mereka mengkaji dan membawa dasar sekular ini dalam perbincangan.
"Apatah lagi kita tidak pernah mencampuri siapa yang patut atau tidak patut berada dalam kepimpinan parti masing-masing, walau kita diserang siang malam," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS ke-61 di sini, hari ini.
READ:
Pro ulama menang besar dalam pemilihan Dewan Pemuda PAS
Abdul Hadi juga berkata, sejarah membuktikan PAS bukanlah sebuah parti yang tertutup atau hanya menghafal hukum-hukum feqah semata-mata sehingga tidak memahami waqie (realiti) politik negara,
Katanya, kerana memahami realiti politik, PAS mengadakan kerjasama politik yang telah melalui perbincangan para ulama dan diterima parti itu.
"Namun kesemua ini dilakukan melalui kaedah-kaedah yang dibenarkan syarak dan syarat-syarat yang tidak mengikat kita untuk membawa Islam.
"Perlu kita ingat, bahawa apa sahaja persepakatan yang mengikat PAS untuk meninggalkan perjuangan dan agenda Islam yang dibawa adalah tidak boleh diikuti sama sekali," katanya lagi.
Dalam ucapannya juga Hadi menegaskan golongan profesional sangat penting dalam PAS seperti golongan ulama dan aktivis.
"Bahkan kita menerima siapa sahaja yang ingin menyumbang kepada kemenangan Islam.
"Jangan ada di kalangan kita yang terperangkap dengan mainan musuh yang cuba memecahbelahkan kita dengan melontarkan slogan pengasingan antara ulama dan profesional," ujar beliau.
GALERI FOTO: Muktamar Tahunan PAS KE-60