PAS tidak letak calon di PRK Sandakan, akan sokong calon wakil pembangkang - Takiyuddin
Bernama
April 17, 2019 16:35 MYT
April 17, 2019 16:35 MYT
"PAS tidak akan meletakkan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Sabah yang akan diadakan pada 11 Mei depan," kata Setiausaha Agung parti itu Datuk Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Isnin lepas dan PAS akan memberikan sokongan kepada wakil pembangkang yang akan meletakkan calon untuk menentang calon Pakatan Harapan.
"PAS mengharapkan PRK ini menghasilkan keputusan yang akan menguatkan wakil pembangkang, lebih-lebih lagi kerusi Parlimen tersebut pernah dimenangi oleh Barisan Nasional suatu ketika dahulu."
"Kemenangan calon pembangkang nanti sudah pasti akan menjadikan proses semak dan imbang dalam Parlimen lebih efektif demi kebaikan negara dan rakyat jelata," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Takiyuddin, PAS Sandakan dan Sabah khususnya akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat bagi membantu calon pembangkang menghadapi PRK tersebut.
Beliau juga menyeru dan mengarahkan anggota dan penyokong-penyokongnya di kawasan Sandakan supaya keluar mengundi sebagaimana pendirian parti memberi sokongan kepada calon yang mewakili pihak pembangkang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Sandakan pada 11 Mei dengan hari penamaan calon pada 27 April serta pengundian awal pada 7 Mei.
Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, pada 28 Mac lepas di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Wong memenangi kerusi Parlimen Sandakan itu dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk Lim Ming Ho yang mendapat 8,996 undi.
PRK Sandakan adalah PRK kelapan selepas PRU-14.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#BN
#Parlimen
#Parlimen Sandakan
#PAS
#pilihan raya kecil
#pilihan raya umum
#Sabah
#Sandakan memilih
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Takiyuddin Hassan