Pas tidak kecil hati dengan UMNO, teruskan usaha penyatuan
Bernama
Januari 5, 2021 17:45 MYT
Januari 5, 2021 17:45 MYT
KOTA BHARU: Pas sama sekali tidak berkecil hati dan akan meneruskan perjuangan menyatukan umat Islam dan bukan Islam bersama UMNO.
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya akan meneruskan hubungan dan menyerahkannya kepada kepimpinan atasan termasuk menerima apa-apa arahan dari pihak tersebut.
"Sebenarnya kita bersyukur kerana selepas 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, dengan keadaan yang kita lihat memberi kesan yang amat besar kepada orang Melayu dan juga kedudukan Islam.
"Apabila dapat bertukar kerajaan, ia adalah satu rahmat kepada kita dan sekarang ini kita kena bina dan sedar matlamat kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Kepada Penjawat Awam di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad dan Speaker Dewan Negeri Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub.
Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan, melahirkan rasa syukur kerana dapat membentuk dan mengambil satu kerajaan yang boleh membela semula nasib rakyat.
"Usaha (membentuk kerajaan) itu penting. Kita akan terus berjuang sedaya upaya kita," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memaklumkan, pihaknya menerima usul daripada bahagian-bahagian supaya membuat kajian semula kerjasama, berdasarkan sikap PAS yang tidak mengutamakan hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN). - BERNAMA
#PAS
#UMNO
#berkecil hati
#Umat Islam
#timbalan mursyidul am pas
#Ahmad Yakob
#Ahmad Jazlan Yaakub
#Muafakat Nasional