Pas terbuka terima Annuar Musa, bekas pemimpin UMNO itu disifatkan berwibawa - Abdul Hadi
Hasimi Muhamad
Februari 28, 2023 23:43 MYT
Februari 28, 2023 23:43 MYT
KUALA LUMPUR: Pas dengan tangan terbuka menerima bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa untuk menyertai parti Islam itu.
Pelawaan itu dibuat Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas Annuar menyatakan kesediaan untuk kembali ke arena politik dan menyertai mana-mana parti yang selari dengan perjuangan beliau.
Presiden Pas itu juga dalam masa sama menyifatkan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu seorang pemimpin yang berwibawa.
"Beliau seorang pemimpin yang berwibawa, yang boleh membantu politik tanah air.
"Beliau akan buat pilihan sendiri dan kita alu-alukan (menyertai Pas)," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Dialog Ulama: Negarawan bertajuk Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini di sebuah hotel di ibu negara, pada Selasa malam.
Annuar dalam hantaran di Facebook pada Isnin berkata, beliau sedang memilih dan bersedia menyertai mana-mana parti politik yang sesuai dengan perjuangannya selepas hampir tiga bulan dipecat daripada UMNO.
Sementara itu, Abdul Hadi yangg juga Ahli Parlimen Marang berkata, Perikatan Nasional (PN) menunjukkan perkembangan yang positif sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk menerusi penyertaan ahli UMNO ke dalam gabungan tersebut yang menyaksikan kemenangan di Perlis.
Justeru, beliau yakin penerimaan terhadap PN akan bertambah baik khususnya selepas tindakan UMNO terhadap pemimpin-pemimpin sendiri.
"Perkembangan yang positif akan berlaku apabila UMNO bertindak secara 'tidak siuman' terhadap pimpinannya sendiri," kata Abdul Hadi lagi.
UMNO sebelum ini melakukan 'pembersihan besar-besaran' dengan memecat dan menggantung beberapa pemimpin parti Melayu itu.
Antara yang dipecat ialah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama tiga yang lain pula digantung keahlian selama enam tahun.
Ia termasuk Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff.