Pas terbuka muafakat politik berteraskan Melayu, Islam - Ahmad Samsuri

Nur Fazlizai Ali
November 28, 2021 06:49 MYT
Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas tidak pernah berputus asa, sebaliknya, berjiwa besar untuk meneruskan agenda penyatuan ummah yang menjadi perjuangan parti itu selama ini. - Gambar Astro AWANI
MARANG: Pas sentiasa terbuka ke arah muafakat politik berteraskan orang Melayu dan Islam sekali gus dapat bekerjasama dalam pelbagai bidang
Menurut Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, parti itu tidak pernah berputus asa, sebaliknya, berjiwa besar untuk meneruskan agenda penyatuan ummah yang menjadi perjuangan Pas selama ini.
Sehubungan itu, Menteri Besar Terengganu itu berkata, parti berkenaan akan tetap meneruskan perjuangannya.
“Tidak ada kecil hati, rasa putus asa. Berputus asa bukanlah kita (Pas)… kita berjiwa besar, boleh menerajui atau membawa rakyat, masyarakat orang Melayu Islam supaya bersatu padu dan bekerjasama hidup secara lebih harmoni berbanding dengan puluhan tahun yang lalu, jadi kita kena terus berusaha,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menyerahkan bantuan persekolahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang pada Ahad .
Sebelum ini, Ahmad Samsuri mendedahkan sikap 'Abang Long' yang ditonjolkan oleh pemimpin tertinggi parti menyebabkan tiga parti iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal membentuk kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, ia berdasarkan penglibatan beliau secara langsung di dalam siri rundingan bagi membentuk kerjasama tiga parti tersebut dalam PRN Melaka.
Perbincangan hampir berjaya menemui penyelesaian apabila tiga parti bertemu selepas mendapat mandat ketua parti masing-masing dalam agihan kerusi.
#PAS #muafakat politik #UMNO #Penyatuan Ummah