Pas tawar bantuan kepada UMNO jika bertanding di PRK Port Dickson

Bernama
September 14, 2018 07:11 MYT
Abdul Hadi (tiga kiri) dan Mahfodz (empat kiri) bergambar bersama perwakilan DHPP pada Konvensyen Nasional DHPP Kali Pertama di Kuala Nerus, 14 Sept, 2018. Turut hadir, Balasubramaniam (dua kiri). --fotoBERNAMA
Pas bersedia menawarkan jenteranya kepada UMNO sekiranya parti berteraskan melayu itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson menentang Pakatan Harapan.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Pas mempunyai kekuatan anggota dan penyokong di Parlimen tersebut yang boleh digerakkan bagi membantu jentera UMNO menghadapi pilihan raya itu.
"Kita ada cawangan di sana. Anggota dan penyokong pun ada, jadi mereka boleh jadi jentera di samping jentera lain dari luar Negeri Sembilan.
"(Jumlah) Bantuan itu kita ikut keperluan mereka tetapi tunggu nama calon dulu, " katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), di Stadium Tertutup Gong Badak di sini,
Turut hadir, Ketua Dewan Ulama Pas Datuk Mahfodz Mohamed dan Ketua DHPP, Balasubramaniam Nachiappan.
Abdul Hadi berkata Pas juga yakin akan berlaku peningkatan terhadap undi pembangkang pada PRK tersebut berdasarkan keputusan PRK DUN Sungai Kandis dan DUN Seri Setia, Selangor baru-baru ini.
"Pengalaman di Seri Setia dan Sungai Kandis jadi satu pengalaman. Kalau Sungai Kandis itu masuk gear satu, Seri Setia dah masuk gear tiga.
KIta anggap itu peluang untuk adakan latihan bersama. Kalau tentera boleh buat latihan bersama antara negara maka pilihan raya kita juga boleh buat latihan bersama," katanya.
Beliau berkata dalam negara demokrasi mana-mana wakil rakyat boleh melepaskan jawatan dan sesiapa juga boleh bertanding pada sesuatu pilihan raya.
-- BERNAMA
#Abdul Hadi Awang #anggota #calon #Dewan Himpunan Penyokong PAS #DHPP #jentera #konvensyen #Negeri Sembilan #Pakatan Harapan #Parlimen #PAS #penyokong #pilihan raya kecil #Port Dickson #PRK #PRK Port Dickson #sungai kandis #UMNO
;