Pas tak pernah terfikir untuk kerjasama politik dengan UMNO - Che Abdullah
Muhafandi Muhamad
Januari 16, 2018 18:02 MYT
Januari 16, 2018 18:02 MYT
Tidak terlintas dalam minda kepimpinan Pas untuk menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO, bahkan tiada cakap-cakap ke arah itu dilafazkan pimpinan tertinggi parti Islam itu.
Sebaliknya, Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi mendakwa, Parti Amanah Negara (Amanah) dipercayai cuba menjalinkan kerjasama dengan UMNO Kelantan.
Katanya, dakwaan yang dibuat bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd Datuk A Kadir Jasin baru-baru ini bertujuan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penyokong dan ahli Pas di negeri itu.
"Kenyataan dibuat oleh musuh Pas. Kita tak pernah dengar kenyataan begitu, baik dari Presiden, setinggi-tinggi jawatan dalam Pas.
"Serangan mengatakan presiden nak bekerjasama (dengan UMNO), kita tak pernah dengar dari mulut Presiden, sebaliknya dari tulisan orang lain," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
Che Abdullah berkata, dakwaan yang disifatkan serangan oleh Pakatan Harapan itu, ditimbulkan oleh musuh Pas untuk memusnahkan parti itu.
Sebuah portal berita melaporkan Kadir berkata UMNO Kelantan menyerahkan negeri itu kepada Pas kerana wujudnya pakatan di antara pemimpin tertinggi kedua-dua parti.
Katanya, Pas merupakan satu parti yang bersih dan sudah pasti terdapat musuh yang mahu mencalitnya dengan kekotoran.
Dalam konteks Kelantan, tambahnya, Pas masih menganggap UMNO sebagai musuh yang akan ditentang pada pilihan raya umum ke-14.
Che Abdullah mendakwa, Amanah sebenarnya yang menjalinkan kerjasama dengan UMNO untuk menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan.