Pas sokong rasuah atas nama Islam - Anwar
Irwan Muhammad Zain
Februari 22, 2019 20:43 MYT
Februari 22, 2019 20:43 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Pas menyokong dan mempertahankan rasuah atas nama Islam dan selepas ianya gagal, parti itu cuba membuat spekulasi tentang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen.
Tegas Anwar, spekulasi usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir itu merupakan percubaan Pas untuk menanam benih-benih perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).
Beliau juga menjelaskan tiada pemimpin dalam PH yang mengetahui tentang usul undi tidak percaya ini kecuali Pas.
"Menariknya perkara ini datang dari Pas, jadi kita tidak tahu sama ada mereka bercakap benar atau berbohong kerana itu mesej konsisten mereka, bohong itu dibenarkan.
"Hari ini saya bertemu Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiada siapa antara kami mendengar tentang usul tersebut, yang tahu pasal itu cuma Pas.
"Memandang mereka gagal, mereka menyokong rasuah atas nama Islam, mereka mempertahankan rasuah atas nama Islam, pilihan yang mereka ada adalah membuat spekulasi tentang usul undi tidak percaya itu," katanya selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Thirukkal di Universiti Malaya pada Jumaat.
Isu mengenai undi tidak percaya dibangkitkan selepas pendedahan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan kononnya terdapat dua parti dalam PH yang merancang pembelotan terhadap Dr Mahathir.
#Abdul Hadi Awang
#Anwar Ibrahim
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Pakatan Harapan
#PAS
#undi tidak percaya