PAS setuju Wan Azizah dilantik Ketua Pembangkang

Bernama
Mei 11, 2015 09:24 MYT
Kemenangan Datuk Seri Wan Azizah Ismail di PRK Permatang Pauh minggu lalu - Foto AWANI
Parti PAS bersetuju dengan rakan sekutunya DAP untuk menyerahkan jawatan ketua pembangkang kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendirian itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Sabtu lepas.
"Kami sebulat suara bersetuju untuk serahkan jawatan ketua pembangkang kepada parti yang mempunyai kerusi majoriti iaitu DAP.
"Memandangkan DAP mengambil keputusan untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Wan Azizah, maka kami bersetuju dengan keputusan itu," katanya.
Sebelum ini, portal berita tempatan melaporkan DAP mahu Dr Wan Azizah memegang jawatan Ketua Pembangkang berbanding timbalan beliau yang juga Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
#Ketua Pembangkang #Permatang Pauh #PRK #Wan Azizah Ismail