PAS senarai pendek enam nama untuk PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar - Mohd Amar
Bernama
Mei 19, 2016 17:47 MYT
Mei 19, 2016 17:47 MYT
PAS menyenarai pendek enam nama untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak, kata Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mohd Amar berkata keenam-enam calon tersebut, masing-masing tiga nama di setiap Parlimen, telah diserahkan kepada Dewan Ulama untuk ditapis sebelum diputuskan oleh PAS Pusat yang dijangka bermesyuarat Ahad ini (22 Mei).
"Setakat ini ada tiga nama untuk Kuala Kangsar dan tiga nama untuk Sungai Besar. Latar belakang calon campur-campur, (tapi) semuanya orang tempatan. Usianya lebih kurang antara 40 hingga 60 tahun dan masih muda," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa kali ke-45 Peringkat Negeri Kelantan 2016 di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Nor Akhirrudin Mahmud, Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim.
Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.
Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata beliau meminta agar parti pembangkang lain tidak meletakkan calon di kedua-dua pilihan raya kecil terbabit dan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).
"Keputusan kita setakat ini kita akan bertanding untuk kedua-duanya. Sebab asasnya adalah yang pertama kawasan itu merupakan kawasan yang kita memang telah bertanding selama ini dan kita ada akar umbi yang kuat.
"(Selain itu) kita nak minta parti lain menghormati (keputusan PAS) sebab ini kawasan tradisi dan kita ni dalam kerjasama kita dalam parti-parti pembangkang (sebelum) ini kita banyak bertolak ansur.. dengan DAP dulu, dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) jadi kita nak minta supaya parti lain pun bertolak ansur dengan kita," katanya.