Pas Sarawak pertimbang guna lambang Barisan Nasional
Rudi Affendi Khalik
Januari 19, 2020 22:29 MYT
Januari 19, 2020 22:29 MYT
Pas Sarawak berpandangan tiada masalah bagi parti itu untuk menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) sekiranya perlu untuk memenangi kerusi sulung di negeri itu.
Ketua Penerangannya, Zharudin Narudin berkata, ia satu kelebihan yang tidak sepatutnya diabaikan untuk mengembalikan Sarawak yang sebelum ini kuat dengan sentimen undi lambang BN.
"Mengambil pengajaran Parti Warisan Sabah yang sebelum ini dilihat bertaring, sudah tidak dipercayai oleh rakyat.
"Lebih malang, mereka tidak dilihat dominan di Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kemenangan BN di Parlimen Kimanis pada Sabtu.
"Ia adalah sebahagian daripada petanda awal Muafakat Nasional sudah mula diterima di Borneo.
"Fenomena ini adalah sebagai refleksi daripada kegagalan Pakatan Harapan (PH) untuk mengurus negara dan gagal mengembalikan kepercayaan rakyat Sabah khususnya di Kimanis.
"Ini perlu diterima oleh PH supaya mereka segera berundur dari tampuk pemerintahan negara," katanya lagi.
Zharudin menambah, Pas Sarawak juga berpandangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu menilai semula kedudukan mereka sebagai rakan pembangkang di peringkat nasional.
"Sungguhpun mereka sangat yakin dengan kedudukan mereka di Sarawak tanpa menyertai mana-mana pihak sama ada pembangkang atau kerajaan dalam Persekutuan, mereka sebenarnya tidak dapat berdiri sendiri di peringkat nasional.
"Secara umumnya, sukar untuk GPS bersendirian tanpa rakan yang bersama menyokong agenda yang dibawa oleh mereka," katanya lagi.
Tegasnya, Pas Sarawak konsisten dengan pendirian tidak akan memberi ruang untuk kemenangan PH di Sarawak.
"Namun, Pas tidak akan memberi ruang sekalipun kepada GPS, di DUN (Dewan Undangan Negeri) yang dilihat berpotensi untuk Pas menang.
"Sebarang rundingan atau kerjasama bagi Pas Sarawak pula adalah bersifat terbuka pada bila-bila masa," jelasnya.
Tambahnya, GPS perlu sedar akan undi-undi Pas yang ada di beberapa DUN yang pernah ditandingi, yang boleh menyumbang kepada kemenangan besar atau mungkin menjadi punca kekalahan kepada GPS.
"Ini kerana sudah terbukti ahli dan penyokong PAS adalah setia walau apa jua arahan daripada parti, mereka akan ikuti," katanya.
Katanya lagi, lambang BN masih menebal di Sarawak dan ini akan memberi saingan kepada mereka sekiranya wujud calon yang menggunakan lambang tersebut.