Pas Sarawak hantar surat minta pertimbangkan semula tempoh tinggal
Hafiz Marzukhi
Mei 1, 2016 15:12 MYT
Mei 1, 2016 15:12 MYT
PAS Sarawak akan menghantar surat rasmi kepada Kerajaan Negeri untuk memohon mempertimbangkan semula keputusannya untuk mengehadkan tempoh tinggal sesetengah petugas serta ahli parti itu di negeri itu.
Setiausahanya Mukhtar Suhaili berkata tiada keperluan untuk mengehadkan tempoh petugas serta ahli PAS di Bumi Kenyalang kerana katanya mereka tidak menganggu gugat keharmonian di Bumi Kenyalang.
"Petugas serta ahli kami hanya ingin memeriahkan pesta demokrasi yang sedang berlangsung di sini," kata Mukhtar.
Ditanya mengenai bilangan ahli serta petugas parti yang dihadkan tempoh untuk berada di Sarawak, Mukhtar berkata bilangannya mencapai puluhan orang.
Namun, walaupun menghadapi keadaan tersebut, Mukhtar berkata PAS Sarawak mempunyai jentera tempatannya sendiri dan cukup bersedia untuk mengharungi tempoh berkempen yang berbaki enam hari.
"Sambutan terhadap calon kami menggalakkan dan kami berharap dapat memenangi antara dua hingga tiga kerusi," kata Mukhtar.
Turut hadir adalah calon-calon PAS adalah Zainal Abidin Yepni (Pantai Damai), Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi (Samariang) dan Zulkipli Ramzi (Muara Tuang).
Isu had tempoh tinggal di Sarawak turut dihadapi bebeberapa pemimpin parti pembangkang yang lain.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng antara individu yang dilaporkan diberi tempoh tinggal yang terhad di negeri itu.
Kehadiran mereka adalah bagi membantu jentera kempen calon masing-masing yang bakal ditentukan nasib mereka pada hari pengundian, 7 Mei ini.
Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan semalam berkata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sedia mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh tinggal Azmin dan Guan Eng di Sarawak sekiranya ada permohonan rasmi daripada mereka.