Pas sambut baik saranan Tun Mahathir, tapi kekal taawun dengan UMNO

Vivi Sumanti
Julai 6, 2019 14:20 MYT
AHMAD YAKOB: Pas sudah menyatakan penyatuannya bagi kepentingan Islam dan bangsa melalui taawun dengan UMNO dalam perkara yang melibatkan kepentingan Islam.
Pas masih setia dan mengekalkan hubungan taawun dengan UMNO pada masa ini dengan tujuan dan hasrat yang sama iaitu penyatuan ummah Melayu Islam di negara ini.
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, situasi politik masa kini menuntut penyatuan seluruh umat Islam, dan Pas sudah menyatakan penyatuannya bagi kepentingan Islam dan bangsa melalui taawun dengan UMNO dalam perkara yang melibatkan kepentingan Islam.
“Buat masa ini itulah slogan kita - penyatuan ummah. Setelah diterima pimpinan dan muktamar, kita masih taawun dengan UMNO dan parti lain (Gagasan Sejahtera). Mungkin satu ancaman buat Pakatan Harapan apabila Pas dan UMNO semakin serasi dan nak bentuk piagam bersama,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu.
Tambahnya, dari segi politik, orang Melayu Islam perlu diberi peluang untuk bersatu mengukuhkan kedudukan. Mungkin itu pandangan dia, tapi Pas ada program kita untuk kuatkan Islam dan umatnya.
“Buat masa ini, kedudukan kita begitulah, tapi kita akan tengok situasi politik masa hadapan. Kita tak boleh jamin kekal macam ini, tapi kehendak politik semasa mungkin akan berubah," tambahnya lagi.
Beliau mengakui umat Melayu akan lemah apabila berpecah dan menjadi sukar untuk mengumpul semula kekuatan umat Melayu Islam.
Pada Jumaat, Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamed mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah satu parti bagi memastikan orang Melayu menjadi kuat dan tidak berpecah belah.
Dr Mahathir berkata setakat ini sudah ada enam parti Melayu termasuk UMNO dan sekiranya lebih banyak lagi ditubuhkan, orang Melayu akan terus berpecah belah.
#Ahmad Yaakob #Islam #Melayu #PAS #Penyatuan Ummah #politik #taawun #timbalan mursyidul am pas #UMNO
;