Pas rayu bantu tampung kos saman Sarawak Report

Astro Awani
Januari 3, 2019 21:05 MYT
Idris berkata setakat ini Pas sudah mengumpulkan sebanyak RM69,000 dan memerlukan lagi RM331,000. - Gambar fail
Pas merayu bantuan RM400,000 bagi menampung kos saman Sarawak Report di United Kingsom (UK), kata Naib Presidennya Idris Ahmad pada Khamis.
Idris berkata bayaran tersebut perlu dijelaskan kepada peguam di UK dalam tempoh dua minggu mulai sekarang.
"Minta tolong sangat-sangat. Bantuan untuk bayaran guaman saman Sarawak Report. Perlu RM400,000 lagi. Dalam masa dua minggu mesti jelaskan kepada peguam di UK.
"Wang terkumpul sekarang RM69,000. Perlu lagi RM331,000," katanya dalam satu kenyataan.
Pada April 2017, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang memfailkan saman terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung tulisan pada Ogos 2016 mendakwa pimpinan parti itu menerima dana RM90 juta yang masuk ke akaun mereka.
Wang itu didakwa diterima daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai dorongan bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
Mahkamah Tinggi London awal tahun lalu mengetepikan pernyataan pembelaan Rewcastle-Brown dan memerintahkan editor Sarawak Report itu membayar hampir £29,000 (lebih kurang RM156,000) kepada Abdul Hadi yang menang semua lima permohonan interlokutori terhadapnya.
Saman Abdul Hadi terhadap Sarawak Reports itu ditetapkan untuk perbicaraan April ini.
#Abdul Hadi Awang #Claire Rewcastle Brown #Idris Ahmad #Malaysia #PAS #saman #Sarawak Report #UK
;