Pas perlukan formula baharu hadapi PRU16

Sinar Harian
Februari 1, 2025 10:00 MYT
Pas memerlukan formula baharu untuk menghadapi cabaran politik masa hadapan khususnya bagi memenangi PRU16. Gambar kecil: Ahmad Zaharuddin Sani. - Foto Sinar Harian
ALOR SETAR: Pas memerlukan formula baharu untuk menghadapi cabaran politik masa hadapan khususnya bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, untuk kekal relevan parti itu perlu melakukan pembaharuan dalam barisan kepimpinan menjelang pemilihan parti yang dijangka diadakan pada tahun ini.
Menurutnya, gabungan pengalaman kepimpinan lama dengan dinamisme pemimpin muda dan teknokrat adalah formula yang diperlukan parti itu.
“Sebagai sebuah parti yang ‘senior’ Pas perlu bijak mengurus peralihan kepimpinan, saya sarankan Pas mengekalkan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai mentor dan pada masa sama memberi ruang kepada kepimpinan baharu.
“Pas perlu lebih agresif dalam usaha menjadi parti berbilang kaum yang masih berteraskan Islam, terutama dalam menghadapi kemungkinan perlu bersaing secara solo pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, sudah sampai masanya Abdul Hadi diberikan peranan baharu dan bukan lagi berstatus Presiden parti.
“Abdul Hadi wajar diposisikan sebagai mentor atau penasihat utama parti. Pengalaman beliau membawa Pas dari parti pembangkang sehingga berjaya menjadi sebahagian komponen kerajaan amat bernilai.
“Malah kepimpinan beliau turut berjaya membawa Pas memenangi 43 kerusi Parlimen. Pengalaman beliau wajar dimanfaatkan dan kekal sebagai 'elder statesman' untuk memberi panduan strategik,” katanya.
Menurutnya lagi, transformasi kepimpinan parti itu boleh diisi dengan beberapa pemimpin pelapis berpotensi, antaranya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang amat berpengalaman dalam politik.
“Tokoh lain termasuk Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah yang merupakan pentadbir berpengalaman; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar antara teknokrat dengan rekod pentadbiran cemerlang serta pemimpin generasi baharu yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin,” katanya.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, mereka ini perlu diberi ruang lebih besar dalam parti kerana ia mencerminkan gabungan kepakaran profesional dengan nilai Islam.
“Pas juga perlu menunjukkan keupayaan mentadbir secara moden dan efisien dengan membina imej parti berbilang kaum secara lebih inklusif.
“Pas perlu bersedia untuk bersaing solo pada PRU16 jika situasi politik memerlukan ia bertindak sendirian namun pada masa sama perlu mengukuhkan sokongan bukan Melayu/Islam,” jelasnya.
Menurutnya, parti itu seharusnya berusaha membangunkan sayap profesional yang lebih kukuh dengan mengekalkan prinsip Islam dan terbuka kepada kepelbagaian.
“Antara agenda pembaharuan yang perlu ada ialah membina imej parti Islam progresif, memperkasakan peranan teknokrat dalam parti, mengukuhkan jentera parti di kawasan campuran serta membangunkan dasar lebih inklusif,” ujarnya.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, antara cabaran utama parti itu termasuk untuk mengekalkan sokongan tradisional sambil meraih sokongan baharu.
“Pas perlu bijak mengimbangi nilai Islam dengan keperluan masyarakat majmuk, disebabkan itu penting bagi parti itu memastikan peralihan kuasa berlaku dengan lancar, sambil membina keyakinan pengundi bukan Islam.
“Parti itu perlu kemukakan hala tuju strategik dengan perkasakan program pendidikan politik, meningkatkan penglibatan profesional muda, mengukuhkan hubungan dengan semua kaum serta membangunkan dasar ekonomi komprehensif,” jelasnya lagi. - Sinar Harian
#PAS #PRU16 #Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri #pemilihan parti
;