'Pas perlu segera diangkat jadi teras utama perjuangan ummah' - Annuar
Sinar Harian
Jun 11, 2023 13:14 MYT
Jun 11, 2023 13:14 MYT
SHAH ALAM : Bekas pemimpin UMNO yang kini sah menyertai Pas, Tan Sri Annuar Musa mahu parti yang baru disertainya itu segera diangkat menjadi teras utama perjuangan ummah.
Menurutnya, orang Melayu dan Islam perlu bersatu di bawah panji perjuangan yang lebih jujur dan istiqamah menjunjung agama, bangsa dan negara.
"Orang Melayu dan umat Islam perlu segera disatu-padukan di bawah panji-panji perjuangan yang lebih istiqamah dan lebih jujur menjunjung agama, bangsa dan negara.
“Pilihannya adalah Pas. Pas perlu segera diangkat menjadi teras utama perjuangan ummah dengan prinsip perjuangan yang lebih luhur dan berterangkuman. Insya-Allah.
“Bersatulah wahai kaum muslimin dan peribumi bersama rakan dan sahabat pelbagai kaum dan bangsa dalam negara tercinta. Membawa keadilan dan kesejahteraan buat semua," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau mendakwa, pemimpin UMNO telah menodai mandat rakyat dan kehendak majoriti untuk membentuk kerajaan pimpinan parti-parti pribumi dengan belot kepada perjuangan dan tanggungjawab memimpin Perpaduan dan penyatuan orang Melayu.
Dakwanya lagi, sebaliknya UMNO telah melarikan sokongan melalui pelbagai manipulasi dan muslihat utk memberi sokongan kepada parti sokongan minoriti berideologi sosialis dan liberal.
"Tindakan ini yang semakin melumpuhkan UMNO, serta menjadikan UMNO semakin tidak releven dan tidak lagi mempedulikan asas perjuangannya, tetapi menjadi alat kepentingan individu tanpa mempedulikan perasaan dan harapan orang Melayu yg menyokongnya.
"UMNO memilih sekadar murid bukan guru, menjadi pengikut dan pelengkap...'King maker' kepada sosialis dan liberal bukan lagi pemacu Nasionalisma Melayu dan Islam," katanya. - Sinar Harian