Pas perlu cermin diri, rakyat perlu buka mata - Mujahid
Sinar Harian
Julai 7, 2023 07:15 MYT
Julai 7, 2023 07:15 MYT
SHAH ALAM: Penyokong dan ahli Pas telah ditunggangi atas nama agama oleh pemimpin-pemimpin parti itu, dakwa Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
Menurutnya, pemimpin Pas sepatutnya cermin diri terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum dengan fatwa sesat bahawa kerajaan hari ini wajib dijatuhkan.
"Fatwa sesat wajib jatuhkan kerajaan hari ini adalah terdorong hawa nafsu politik yang rakus, kebencian dan jahil tentang disiplin ilmu keluarkan hukum.
"Bagi saya (Pas) kena cermin diri dulu dan yakinkan rakyat bahawa mereka lebih baik, saya yakin Islam akan terpelihara, agama akan dilihat indah dan cantik.
"Orang yang mempergunakan agama akan dilihat sebagai penunggang-penunggang...rakyat Malaysia perlu buka mata dan orang Pas khususnya fahamilah bahawa anda sudah ditunggangi atas nama agama oleh pemimpin-pemimpin Pas," katanya menerusi ciapan video di Twitter pada Jumaat.
"Dengan saya saja dua kali mereka kalah kerana fitnah LGBT dan fitnah saya ini jual hotel Tabung Haji.
"Kalau lihat status itu sendiri pun, saya tak fikir rakyat Malaysia boleh percaya dengan hukum yang dikeluarkan oleh parti Pas ini kononnya atas agama dan syariat," katanya. - Sinar Harian