Pas Perak kesal, nafi dinding Pejabat Perhubungan Negeri diconteng
Amirrul Rabbani
Julai 3, 2021 19:31 MYT
Julai 3, 2021 19:31 MYT
IPOH: Pas Perak menafikan dinding Pejabat Perhubungan Pas negeri itu diconteng seperti yang dipaparkan dalam gambar yang tular di media sosial Twitter pada Sabtu.
Ketua Penerangan Pas Perak, Hafez Sabri berkata pejabat berkenaan masih berada dalam keadaan baik.
Hafez menyifatkan tindakan pihak yang memuat naik gambar yang sudah disunting itu sebagai tindakan provokasi murahan dan fitnah jahat.
“Pas Perak melahirkan rasa kesal di atas tindakan yang tidak bertanggungjawab pihak tertentu.
“Pas Perak berharap masyarakat dapat bertenang selepas mendapat penjelasan ini dan bersama kita menolak perbuatan fitnah dan tidak bermoral ini.
“Kita menyeru agar kita semua dapat berpolitik secara matang dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu tular di media sosial satu gambar yang mendakwa Pejabat Perhubungan Pas Perak telah diconteng dengan beberapa perkataan jelik, yang dikaitkan dengan kenyataan beberapa pemimpin parti itu berkaitan kempen #benderaputih.