Pas muktamad kerjasama dengan Bersatu hadapi PRU15 - Tuan Ibrahim

Fareez Azman
September 1, 2022 06:02 MYT
Menurut Tuan Ibrahim Tuan Man, Pas akan kekal bersama rakan dalam waktu senang dan susah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pas telah memuktamadkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-63 di Alor Setar pada Khamis.
Menurut Tuan Ibrahim, Jawatankuasa Perundingan Kerusi Perikatan Nasional (PN) telah diwujudkan bagi membincangkan persediaan serta pembahagian kerusi di antara parti-parti komponen dalam gabungan itu.
"Muafakat politik bukan hanya bersifat sementara tapi menentukan hala tuju negara ke mana sebenarnya negara dan rakyat nak dibawa.
"Oleh kerana itu, kita menghargai kekuatan ini, Insya-Allah saya penuh yakin dan percaya kita PN melalui rakan komponen saya telah turun bertemu rakan-rakan di peringkat pimpinan tertinggi.
"Saya suka maklumkan bahawa kita telah menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Kerusi seperti disebut oleh Pemuda (Pas)," jelasnya.
Tambahnya, perbincangan telah dimulakan di antara parti komponen ketika ini dan beliau menjangkakan pembahagian kerusi selesai dalam masa terdekat.
"Kita telah memulakan perbincangan tersebut, Alhamdulilah ruang sangat mudah, perbincangan sangat baik.
"Muafakatnya sangat utuh, kita yakin boleh selesai dalam hanya dua tiga kali perundingan, soal kerusi akan selesai Insya-Allah," katanya.
Mengulas lanjut, Menteri Alam Sekitar dan Air itu turut menegaskan, Pas tidak akan meninggalkan Bersatu meskipun jika memenangi PRU15 kelak.
Ujarnya, jasa dan pengorbanan Bersatu tidak pernah dilupakan sehingga Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan ketika ini.
"Keberadaan kita dalam kerajaan hasil daripada rakan-rakan (Bersatu) kita keluar daripada PH (Pakatan Harapan), kita menyedari betapa besarnya perjuangan dan pengorbanan mereka.
"Sebab itu bagi kita apa jua muafakat politik, kita tidak boleh mengenepikan rakan kita dalam Bersatu.
"Tanpa mereka, UMNO pun tidak mungkin duduk dalam kerajaan Persekutuan hari ini. Tak kan bila kita menang jadi kerajaan, tiba-tiba kita nak ketepikan sahabat dan rakan kita, kita berkawan waktu susah dan senang dalam menghadapi situasi gawat dan situasi tenang," tegas Tuan Ibrahim lagi.
#PAS #politik #Bersatu #PRU15