Pas mahu tawan Pahang, beri fokus sokongan bukan Islam

Sinar Harian
September 11, 2024 07:00 MYT
Tuan Ibrahim bersama perwakilan Pemuda Pas sempena Muktamar Pemuda Pas kali ke-65 di Temerloh semalam. - Sinar Harian
TEMERLOH: Pas yakin mampu menawan pentadbiran negeri Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan pucuk pimpinan memilih negeri itu untuk mengadakan Muktamar kali Ke-70 sebagai isyarat serius parti itu mahu mengiringi pentadbiran Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Muktamar kali ini kita buat di Kerdau sebagai isyarat bahawa Pahang sedia bersama empat negeri ditadbir Pas untuk diambil alih pada PRU16.
“Pas menang 43 Parlimen dan 105 DUN (Dewan Undangan Negeri), bagaimanapun kita kena fokus pada gerak kerja di masa akan datang, jangan lena dengan kejayaan kerana ia hasil benih yang di tanam 10, 20 tahun dahulu dan hasil hari ini masa 10, 20 tahun akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Pemuda Pas kali ke-65 di Dewan Al-Makmur di sini semalam.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan, Perak dan Selangor turut menjadi negeri sasaran menjelang pilihan raya umum akan datang selain memberi tumpuan menambah kerusi di negeri lain.
Justeru beliau meminta Pemuda Pas memberi fokus untuk menarik sokongan golongan bukan Melayu, sekali gus memperbaiki kelemahan dalam misi menawan Putrajaya.
“Anjakan paradigma ini bukan sahaja melibatkan muafakat dalam politik tetapi memperbaiki organisasi supaya pendekatan strategik akan tersusun rapi.
"Kita mendapat sokongan majoriti Melayu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, namun harus mengakui kelemahan yang perlu diatasi di kawasan bukan Melayu di selatan tanah air termasuk Sabah dan Sarawak.
“Bagi rakan kita di Sabah dan Sarawak, saya lihat perlunya satu pendekatan dicari bagi mendapatkan rakan-rakan muafakat politik dengan menyambung apa yang ada di Semenanjung Malaysia," ujarnya. - Sinar Harian
#Tuan Ibrahim Tuan Man #Muktamar Pemuda Pas #sokongan bukan Islam #pilihan raya umum
;