Pas mahu bekerjasama dengan UMNO? Usah mimpi siang hari - Zahid
Fareez Azman
Disember 6, 2023 16:28 MYT
Disember 6, 2023 16:28 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan Pas tidak menolak akan kembali bekerjasama dengan UMNO menerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai mimpi di siang hari.
Tegas Ahmad Zahid, kenyataan terbaharu Timbalan Presiden Pas berhubung kerjasama dua parti itu ibarat 'gila talak'.
"Setakat ini tidak ada khabar angin sampai ke pihak UMNO. Mungkin ada pihak yang kegilaan talak kerana mereka pernah berada dalam kerajaan dahulu.
"Alangkah sakitnya mereka (Pas) mempunyai jumlah kerusi yang banyak tetapi menjadi pembangkang.
"Kita harap mereka terus berdoa agar tidak melakukan 'kekencingan' sekali lagi kepada UMNO yang menyebabkan UMNO tidak langsung mahu membuka jalan setakat ini," jelas Ahmad Zahid.
Tegas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, mimpi siang hari PAS itu perlu dinoktahkan.
"Allah SWT belum buka lagi hati kami untuk kerjasama politik dengan mereka. Kami minta mimpi siang mereka itu dapat dinoktahkan," tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Perdana Putra pada Rabu.
Sebelum ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan terbaharunya tidak menolak Pas akan kembali bekerjasama dengan UMNO menerusi PN yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Tuan Ibrahim memberi reaksi itu sebagai respons kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil yang berkata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar boleh menjadi Perdana Menteri jika PN berjaya memujuk UMNO bermuafakat semula sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.