Pas letak dua syarat bentuk kerajaan perpaduan di Perak - Takiyuddin

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 11, 2018 12:44 MYT
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan memberitahu bahawa PAS letak dua syarat untuk bentuk kerajaan perpaduan di Perak. -Foto Astro AWANI
Parti Agama Islam Se-Malaysia (Pas) meletakkan dua syarat bagi membentuk kerajaan perpaduan iaitu kerajaan tanpa pembangkang yang melibatkan Pas, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Perak.
Perkara itu diputuskan selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat petang tadi di Rusila, Marang yang diumumkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.
“Pas meletakkan syarat bahawa kerajaan perpaduan ini perlu dipimpin oleh seorang Islam yang dipersetujui oleh majoriti ADUN Islam yang ada.
“Manakala exco kerajaan negeri mestilah majoritinya terdiri daripada kalangan ADUN beragama Islam,” kata Takiyuddin dalam satu sidang media selepas mesyuarat parti hari ini.
BACA: Pas cadang bentuk kerajaan perpaduan di Perak
Ia sekaligus merungkai kekusutan politik yang sedang berlaku di Perak ketika ini dan ura-ura yang menyatakan bahawa Pas telah bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran bersama BN Perak.
“Itu adalah syarat kami dan kami tidak paksa dan jika tidak bersetuju Pas sendiri bersedia untuk berdepan dengan pilihanraya negeri jika tidak ada jalan penyelesaian,” jelas Takiyuddin lagi.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 mencatat kedudukan kerusi DUN Perak ketika ini memihak kepada Pakatan Harapan dengan 29 kerusi manakala BN 27 kerusi dan PAS tiga kerusi.
#Adun Islam #BN #dua syarat #Kerajaan Perpaduan #PAS #Perak #PH #Rusila #Takiyuddin Hassan