‘Pas lebih lama dengan DAP’ - Ahmad Maslan
Sinar Harian
Mei 9, 2024 11:00 MYT
Mei 9, 2024 11:00 MYT
SHAH ALAM: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menempelak segelintir penyokong pembangkang yang menggabungkan nama partinya dengan DAP.
Beliau berkata, hakikatnya Pas lebih lama bersama dengan DAP berbanding Kerajaan Perpaduan.
“UMDAP kata mereka, faktanya Pas lebih lama dengan DAP.
“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama DAP, menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan jadi kerajaan 22 bulan.
“Bila UMNO bersama Kerajaan Perpaduan, mereka gelar UMDAP,” katanya menerusi hantaran di X pada Rabu.
Sebelum ini, gelaran tersebut pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika perbahasan di Parlimen tahun lalu dan sehingga kini ia menjadi ikutan sesetengah penyokong parti pembangkang.
Bagaimanapun, Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian berpendapat, golongan sedemikian disifatkan sebagai hipokrit kerana enggan mengingat fakta sebenar.
“Kumpulan ini sebenarnya orang hipokrit tahap tinggi.
“Kura-kura simpan dalam perahu, berpura-pura macam orang tak tahu,” ujar beliau. - Sinar Harian